Pages

Sunday, September 14, 2014

Ajarkan Aku Cinta - Bab 5



Nazhatul Balqish menggeleng-geleng kepalanya melihat Qalish Widylea ke hulur ke hilir..Mundar-mandir dengan butir bicara yang dia sendiri tidak faham. Entah mengapa, dia terasa rapat dengan gadis itu. Lantaklah macam mana pun perangai si Qalish Widylea ni. Janji tak jahat, boleh dibuat kawan. Bagi Nazhatul Balqish, dia bersyukur. Qalish Widylea tak adalah seperti anggapan ramai teman-temannya. Semuanya menyimpang jauh. Cuma, dia misteri… Fikirannya yang melayang tadi tercampak semula ke alam nyata apabila Qalish Widylea tiba-tiba mendengus kasar. Kuat.



             "Ni yang aku tak puas hati ni!!! Aku dah tak tahan dah dengan perangai mamat sial tu!" kini, Qalish Widylea menggenggam penumbuk.



             "Kau ni kenapa Que? Aku tak faham la."



 "Si Danish Imran tulah. Jangan pandang rendah kat akulah. Dia tak kenal lagi siapa aku ni!!"



 "Apahal plak kali ni?" tanya Nazhatul Balqish.



            Qalish Widylea tidak menjawab, tetapi memandang ke satu arah dengan pandangan yang maha tajam. Tertarik, Nazhatul Balqish turut menoleh. Terpampang di matanya jejaka yang amat dibenci Qalish Widylea, Danish Imran.



             "Petang ni kat court. Jangan buat-buat lupa plak...Kalau tak datang, confirm kau ni pengecut. Luar je kuat, dalam lembik..Perempuan lah katakan....." Danish Imran gelak kasar. Bergema tawanya di pinggir padang yang agak sunyi itu.



             Qalish Widylea cuma mampu merengus kasar. Berombak-ombak dadanya tanda kesabarannya memang teruji apabila berhadapan dengan lelaki ini. Suka benar jejaka itu mengganggu sekelumit ketenangan miliknya.



  'Nasib kau memang tengah baik lagi ni. Kau jangan sampai nanti aku hilang sabar, nahas kau aku kerjakan' Kata-kata itu cuma terluah di dalam hati. tersekat di kerongkong, tak terkeluar patah bicaranya.



            Lengan Nazhatul Balqish ditarik, sebagai tanda mengajak gadis itu beredar dari situ. Lebih lama dia menghadap Danish Imran, lebih menggelegak jiwanya.



             "Kau jangan lupa, pengecut!" Jeritan itu bergema di kejauhan, sayup-sayup di pendengaran Qalish Widylea, namun masih dapat ditangkap bait-baitnya.



Bunyi bola keranjang dilantun kedengaran jelas. Hubungan yang semakin meruncing menambah perisa terhadap perlawanan ini. Qalish Widylea memang misteri dan ramai yang tidak menyukai kewujudannya. Danish Imran pula rebutan pelajar perempuan yang tergedik-gedik mencuri perhatian lelaki itu. Justeru, perlawanan yang tak seberapa ini nampak berat sebelah. Namun, permainan hendaklah dibuat secara adil.



  Sorakan demi sorakan bergema memenuhi ruang gelanggang. Degupan jantung laju, selaju ayunan langkah membawa bola. Perlawanan sudah berlangsung selama sejam, namun satu jaringan pun masih gagal diperoleh. Peluh menitis menuruni cerun pipi. Qalish Widylea gagah beraksi dengan topi merah putih Nike kesayangannya. Ayu?? Dah hilang kena telan dek penampilan boyish nye tu. Laju tangannya merampas bola di tangan Danish Imran dan terus score satu jaringan. Dah takde masa untuk amaran dah.





            Danish Imran mula rasa tercabar. Gadis di hadapannya ini bukan boleh dipandang remeh. Apatah lagi sebelah mata. Pandangannya dipaku kepada gadis misteri di hadapannya ini. Buat seketika, permainan berpihak kepada Qalish Widylea. Mana mungkin dia kalah pada seorang perempuan. Rambut yang terjuntai di dahi disebak ke belakang. Nafas ditarik dalam-dalam bagi menstabilkan denyutan jantung. Tajam mata helangnya memerhatikan langkah Qalish Widylea mencari peluang untuk merampas bola.



  Rampas-merampas dah jadi rutin. Mata sudah setara dan permainan sudah hampir ke penghujung. Qalish Widylea pula sudah semakin rancak menghayun langkah menghalang Danish Imran daripada menjaringkan lebih mata. Wajahnya sudah dibasahi peluh dan sorakan keliling makin kuat dan mula menganggu tumpuannya. Gamat dan riuh. Dalam pada dia cuba untuk menjaringkan mata di saat terakhir itu, Danish Imran merampas bola dan kemenangan menjadi milik jejaka itu.



            Qalish Widylea menjerit kecewa. Longgar lututnya dek kekalahan pertama itu. Dengan itu, Danish Imran secara rasminya menjadi ahli blacklist Qalish Widylea yang paling top. Nombor 1 lagi. Tunduk menekur lantai gelanggang. Hanya itu yang mampu dilakukan Qalish Widylea. Kekalahan ini seperti kekalahan total. Dia nampak lemah di mata Danish Imran.



 ' No! This is not true!!!This ain't really happening!!' jerit hati kecilnya.



            Langkah diatur perlahan meninggalkan lantai gelanggang. Terdengar-dengar suara-suara sinis memerlinya dan mengutuknya. Namun semua tu tak jadi kudis bagi Qalish Widylea. Puas Nazhatul Balqish memanggil-manggil Qalish Widylea, namun tak nampak tanda yang gadis itu akan berhenti. Berlari-lari anak Nazhatul Balqish bagi menyaingi langkah besar Qalish Widylea.



  "Que, kau janganla macam ni. Aku tahu kau kecewa. Tapi try to take this as a challenge. Jangan putus asa,ok?"


 "Aku dah kalah, Naz! Kau tak nampak senyum sinis dia tu? Aku benci dia,Naz!! Aku benci!!"



Tersentak Nazhatul Balqish dek jeritan Qalish Widylea. Macam nak tercabut dah jantung ni rasanya. Terdetik rasa kasihan di kalbunya untuk gadis yang bernama Qalish Widylea. Dia tahu, gadis itu ada sesuatu yang disembunyikannya. Jauh dari pengetahuan sesiapa..



 "Best man always win, Que.." Suara Danish Imran terdengar di telinganya. Halus namun sinis. Dengan senyuman menyindirnya, Danish Imran mengenyit mata dan berlalu. Qalish Widylea geram, lalu membaling bola di tangannya tepat mengenai lampu jalan. bunyi pecah berderai itu menyebabkan suasana yang bising tadi jadi senyap. Kalau bunyi jarum jatuh ke lantai pun boleh dengar. Dengan langkah longlai, dia berlalu.












Saturday, September 13, 2014

Ajarkan Aku Cinta - Bab 4



Matanya tertancap ke dada buku, tapi jiwa dan perasaannya tiada di situ. Teringatkan peristiwa semalam. Hatinya meronta, memberontak ingin melahirkan rasa gelodak marah yang membuak dalam dada. Perhatiannya langsung tiada dalam kelas. Hanyut dalam dunianya sendiri. Papanya buat hal lagi! Alynn dibawa pulang ke Vila Puteri. Masih terngiang-ngiang lagi suara manja perempuan itu di telinganya, macam bunyi nyamuk yang menghurung telinga. Rimas! Masih terbayang lagi di matanya kelakuan-kelakuan tak senonoh papanya. Sakit matanya. Ahh.. Persetankanlah semuanya itu. Dengusan kasar keluar dari celah bibirnya yang merekah merah itu. Dadanya berombak kasar. Menahan gelodak rasa.

            Saat ini telinganya terdengar pula rengekan manja Raja Khaleda Mysara. Terkekek-kekek ketawa. Entah apa yang lucu sangat tak tahulah. Duduk sekumpulan dengan pelajar-pelajar perempuan lain yang putih melepak dan digelar geng telur. Kononnya sama seperti kulit mereka yang putih macam telur. Qalish Widylea mengalih pandang. Menyampah rasanya. Tangan Raja Khaleda Mysara yang lebih mesra dipanggil Kelly melambai ke arah Danish Imran yang baru tiba ke kelas.


            “Come here. We should talk.” Kata Kelly manja.

            “Pasal semalam, kenapa you tak datang? Lama I tunggu..” Kelly memaut lengan Danish Imran sambil merengek manja. Danish Imran pula tersenyum.

            ‘Ah, dasar lelaki..’ ulas Qalish Widylea dalam hati. Pantas mendengus. Menandakan ketidakpuasan hatinya.

            Danish Imran terdiam apabila mendengar dengusan Qalish Widylea. Membiarkan Kelly dengan kata-katanya. Dia sendiri tiba-tiba jadi jelik dengan perangai gadis itu. Entah kenapa, dia pun tak tahu.  Dapat dilihat Qalish Widylea yang resah di tempat duduknya. Kelly yang semakin bosan bercakap dengan ‘tunggul kayu’ segera berlalu. Mengisi perut yang lapar. Mengambil kesempatan yang ada, Danish Imran menghampiri gadis yang beku, dingin di tempat duduknya. Walaupun zahir gadis itu seperti lelaki, dia tetap tertarik untuk menghampiri. Mahu mengetuk pintu hati gadis itu untuk mengenal dunia remaja.


            “Que..” sapa Danish Imran. Qalish Widylea memalingkan muka ke arah lain. Membisu.

            “Kau ada problem ke?? Kenapa kau tak macam orang lain?” cuba menyapa lagi.

Qalish Widylea makin rimas. Digumpal-gumpal kepingan kertas yang ada di bawah mejanya, kemudian dibaling tepat ke muka Danish Imran.

            “Blahlah! Leave me alone!!” tegas bunyinya.

Tak puas hati dengan kejadian pagi tadi, Danish Imran ke padang. Dia memandang ke kiri dan kanan mencari seseorang. Meliar matanya mencari namun masih tak ketemu. Sudah merata dia mencari sehingga terasa lenguh lututnya.

            ‘Ish, mana dia ni!! Time aku nak carila dia tak ada. Kalau tak ada je aku nampak muka dia tercongok kat sini!’ gerutu hatinya. Geram.

            Dalam matanya meliar, tiba-tiba dia terpandang sesusuk tubuh di pinggir padang sekolah. Cahaya matahari sudah mula meredup dilindung awan. Tapi matanya masih dapat mengenali. Sweater kelabu, topi Quicksilver dan sneakers. Siapa lagi kalau bukan Qalish Widylea. Sekali pandang, sebijik macam lelaki. Hati nakalnya mula ingin mengusik.


            “Woi, Que!” laungnya dari jauh.Qalish Widylea tak ambil peduli.
          ‘Lantak kaulah nak terlolong, nak menjerit macam orang gila. Tak boleh ke nak tengok orang senang?!’ Merengus lagi.

Sejak kehadiran lelaki yang bernama Danish Imran itu ke sekolahnya, dia tak pernah lagi ada ruang untuk bersenang - lenang. Ada je idea lelaki tu nak mengacau. Rasa geram, sebal, toksah cakaplah. Dah berbakul-bakul maki hamunnya dihadiahkan buat lelaki itu, tapi tak paham-paham jugak.

 " Woi, tak dengar ke?!" Jerit Danish Imran di telinga Qalish Widylea. Qalish Widylea dah menggengam penumbuk. Sakit hatinya. Nak bagi aku pekak ke mamat ni?

 "Dah perempuan tu buatlah gaya macam perempuan. Ingat kau berlagak macam lelaki kudrat kau tu sama ke dengan aku yang lelaki ni. Bawak-bawakla sedar diri tu sikit." Danish Imran berkata sinis.

Muka Qalish Widylea sudah mula memerah. Tanda marah. Dadanya pula berombak kasar. Terus berdiri dan melangkah pergi. Malas nak layan kerenah Danish Imran.

“ Kau jangan lupa pasal esok! Kalau kau tak datang, maknanya kau PENGECUT!!” sengaja dia tekankan perkataan pengecut itu. Biar Qalih Widylea rasa marah, sekaligus menyahut cabarannya. Danish Imran tersengih nakal. Qalish Widylea menyumpah-nyumpah.


Ajarkan Aku Cinta - Bab 3



Sekuntum ros putih itu diletakkan dalam gelas kaca yang terletak di sisi katilnya. Dicium bau harum ros itu dalam-dalam. Lantas diambilnya sebuah diari berwarna putih gading dalam laci meja sisi. Dibuka halaman terakhir yang ditulis beberapa hari lalu. Dibaca sepintas lalu, dan ditulis bait-bait baru di muka surat seterusnya.

Terduduk aku disudut kamar yang berdebu
Berselimut hangat dengan karma yang menyeksa
Tak kuasa berpaling tuk menghindar
Derita terus mendera, menempa, menindih dari segala arah
Tak ingin kusesali
Namun wajar sakit ini meminta sedikit air mata
Hingga hampir kering jelaga rasa pelipur jiwa
Ragaku teguh namun tidak jiwaku
Namamu kuucap,tapi sakit yang kurasa
Dari pecah rongga bibir berdarah
Kenapa kau benci aku,
berucap pun ku hanya bisa tuk bertanya
Semua bicara tentangmu aku simpan rapi
Dalam sepi jiwaku
Dalam hangat tangisku…
Qalish Widylea Zafrul Effendi
3 Februari 2007,11 25 pm.

           



Qalish Widylea mengeluh. Mengelap titis-titis air mata yang berguguran jatuh. Dia kalah lagi. Kalah dengan rasanya yang satu itu. Dia menapak ke keluar. Menuju ke bilik salah seorang kakaknya, Qamelia Balqis. Bunyi bising-bising orang menjerit membuatkan dia terpanggil untuk ke bilik kakaknya itu.

            “Kak Qamy..” panggil Qalish Widylea sambil membuka pintu. Serentak itu, kepalanya dicium sebiji pasu kecil yang melayang dibaling Qamelia Balqis. 
           
“Aduh…” jerit Qalish Widylea. Dia kemudiannya berteriak memanggil Mak Esah yang berada di tingkat bawah. Entah dengar atau tidak orang tua itu. Dalam pada itu, dia segera menangkap tangan Qamelia Balqis dari terus membaling barang-barang yang ada di situ.

            “Aku benci kau!!! Aku benci!! Keluar!!Keluar!!” jerit Qamelia Balqis.

            ‘Penyakitnya datang lagi..’ terkilas kenyataan itu dalam hatinya.

Lantas dipeluk erat Qamelia Balqis yang sedang meracau itu. Meronta-ronta Qamelia Balqis apabila tubuhnya dikunci begitu. Mak Esah datang terkocoh-kocoh bila dia seakan-akan terdengar suara Qalish Widylea menjerit memanggilnya tadi.  Qamelia Balqis masih terjerit-jerit. Qalish Widylea pula masih menenangkan kakaknya.

            “ Kak Qamy.. Please..It’s me.. it’s me, Leya..” Qalish Widylea terus memujuk dengan menyanyi perlahan ke telinga Qamelia Balqis yang masih meronta-ronta. Beberapa ketika kemudian barulah Qamelia Balqis berhenti meronta. Teresak-esak Qalish Widylea menangis bila teringat peristiwa hitam yang berlaku beberapa tahun dahulu, yang menyebabkan Qamelia Balqis jadi begini. Imbasan demi imbasan insiden yang berlaku kembali terlayar di ruang mindanya seperti wayang gambar.

           

Lewat petang itu Qalish Widylea ingin singgah ke rumah Qamelia Balqis selepas beberapa hari tidak mendengar khabar berita dari kakaknya itu. Dia rasa tak sedap hati. Dari perbualannya beberapa minggu lepas, suaranya tak ceria dengan ketawa yang nampak sangat dibuat-buat. Dia menyusup masuk ke rumah yang pintunya terbuka bila salam yang diberi beberapa kali tidak berbalas.

“ Abang, sakit,bang!!” terdengar jeritan dari bilik di tingkat atas. Tapi nadanya sangat lemah. Qalish Widylea tak sedap hati. Dipanjat laju tangga ke tingkat atas dengan hati yang berdebar-debar.

Dari pintu yang sedikit ternganga, dia nampak abang iparnya rakus memukul tubuh Qamelia Balqis yang sudah terjelepok ke lantai. Tangan dan kakinya dengan keras menendang, menghempuk dan menampar tubuh Qamelia Balqis yang sedang merayu-rayu agar dilepaskan. Qalish Widylea tergamam. Tubuhnya keras di situ. Dia nampak Hadi mengangkat tubuh Qamelia Balqis dan menolak kasar tubuh itu ke dinding, macamlah tubuh tu anak patung.

Dia pantas menolak daun pintu supaya ternganga luas. Dia tolak tubuh Hadi dengan tenaga perempuan yang tak seberapa. Namun lelaki itu jadi menggila macam dirasuk.Tubuh Qalish Widylea yang melindungi tubuh Qamelia Balqis yang dah lembik tak bermaya pun dipukul sekuat hati.   

            “ Abang ni kenapa?!!” jerit Qalish Widylea
            “ Perempuan keji! Sundal!! ” marah benar Hadi nampaknya. Mulutnya menyumpah-nyumpah.

            “ Blahlah! Blah!! ” Walaupun tubuhnya terasa sakit, dia masih melindungi tubuh Qamelia Balqis dari terus dipukul.

            “ Jangan harap aku ceraikan kau! Aku gantung kau tak bertali sampai kau mampus! Jangan carik aku dah! Dasar betina tak tahu malu! Dengan kawan aku kau curang! ”
            “ Jangan nak tuduh sembaranganla! Kak Qamy setia dengan abang! Mana abang dapat cerita mengarut ni!”

            “Kalau aku takde bukti, takde aku cakaplah! Kau bawakla betina ni keluar! Pergi mampus! Aku taknak ambik tau dah! Blah! Berambus dari rumah aku!!”  Hadi mengheret tangan Qalish Widylea dan Qamelia Balqis keluar dari rumahnya. Menghalau mereka keluar macam sampah. Tak berrnilai langsung!

Qamelia Balqis mencapai tangan Qalish Widylea dan dicium bertalu-talu. Segala apa yang ada di dalam kepalanya terus kabur, dan menghilang.

“Sayang Leya…Kak Qamy sayang Leya.. Jangan tinggalkan Kak Qamy??” Tangan halus Qamelia Balqis mencapai sikat berus berwana hitam dengan ukiran bunga di tangkainya. Qamelia Balqis menyisir rambut Qalish Widylea yang hitam berkilat itu perlahan-lahan.

            “Rambut Leya cantik.. Macam Barbie doll..” Qamelia Balqis menyanyi kecil gaya kanak-kanak yang baru mendapat barang kesukaannya.
            “Kak Qamy, esok kita gi hospital ye?” ajak Qalish Widylea.
            “Tak nak!! Aku tak nak! Tak nak!!!!” Qamelia Balqis tiba-tiba mengamuk dan mencampak apa sahaja yang ada di sisinya bila mendengar Qalish Widylea mengajaknya ke hospital.

            “Kak Qamy, please. For me? Kak Qamy tak sayang Leya ye?” Qalish Widylea memujuk lagi.

           
Akhirnya setelah beberapa lama dia memujuk, Qamelia Balqis bersetuju setelah disogokkan untuk dibawa ke taman permainan. Sejak peristiwa itu Qamelia Balqis lebih berperangai keanak-anakan. Dia ingin dibelai dan dimanja bagaikan kanak-kanak kecil. Sebelum tidurnya, hendaklah dinyanyikan lagu atau dibacakan cerita-cerita pendek.  Peristiwa hitam itu benar-benar mengubah seorang Qamelia Balqis.